
Khamis, 28 Januari 2010
Besar erti kemaafan itu

Isnin, 25 Januari 2010
Bingkisan rindu kau dan aku


Khamis, 21 Januari 2010
Semuanya bermula dari seorang kanak-kanak...bernama Haikal

Cerita bermula begini, pada petang tadi aku telah menemani emakku untuk membeli belah di sebuah pasar raya. Setibanya di sana, adikku, Haikal mula meragam, menangis-nangis kerana tidak mahu duduk di dalam troli. Selaku kakak, aku membawanya ke sebuah kedai kek untuk memujuknya. Aku menunjukkan kepadanya kek yang mempunyai kartun-kartun Doraemon dan Mickey Mouse. Dia tertawa keriangan. Aku mengurut dada tanda kelegaan. Sedang aku melayan kerenah adikku, aku merasakan ada sesuatu yang tidak kena di kedai kek itu. Aku memandang ke sebelah kananku. Aku ternampak sekumpulan lelaki dan dan seorang wanita. Semuanya berjaket hitam. Aku memandang mereka dengan muka kehairanan. Kelihatan semuanya seperti ustaz-ustaz belaka. Akal fikiranku mula berteka-teki, siapakah mereka semua? Adakah pelajar-pelajar dari universiti atau dari JAKIM. Tiba-tiba, muncul seorang lelaki yang berjaket hitam seperti mereka, menarik keluar berkotak-kotak botol kaca sambil disebelahnya terdiri seorang cina tua dalam keadaan muka ketakutan. Aku jangkakan mungkin itu tauke kedai kek tersebut. Aku melihat ke dalam kotak tersebut. Walaupun aku rabun, namun aku belum buta lagi. Aku dapat melihat dengan jelas sekali. Ada arak di dalamnya. Maka terjawablah semua teka-teki sebentar tadi. Lantas kotak memori ku melayang:
(Tarikh yang tidak jua aku mampu ingati di rumah ibu saudaraku di Kajang. Aku sedang memerhatikan ibu saudaraku yang sedang membuat kek sempena hari lahir adikku)
Mak Jang: Kakak nak taw tak, kalau kat kedai depa guna icing murah bila buat kek, tu yang tak sedap.
Aku: Yeke Mak jang, oh patutlah kalo makan mudah rasa mual. Tak boleh makan banyak-banyak kek tuh.
Mak Jang: Lepas tuh selalunya kalau kedai cina, depa letak arak dalam icing depa, nak bagi sedap.
Aku: (Muka terkejut beruk) yeke mak jang, masyaallah baru taw, okey lepas ni suruh mak jang buat kek lah.
Tiba-tiba emakku memanggilku. tidak dapatlah aku menyiasat apa yang terjadi seterusnya dan siapa lelaki-lelaki sebentar tadi. Sebelum pulang aku sempat melihat tulisan yang tertera di belakang jaket hitam mereka. Tertulis 'KEMENTERIAN DALAM NEGERI.' Ternyata telahanku salah sama sekali. Kata sahabatku apa yang penting dari kejadian itu ialah pandanglah jaket bukan pada rupa.
Sabda Nabi s.a.w: “Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram ( walaupun belum memabukkan) ( Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih )”
Firman Allah swt :“Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan” (Al-Baqarah : 219)
Terima kasih kepada saudara Mohd Nor Akmal Shukor selaku penyelaras cerita kerana sudi mendengar ceritaku yang bosan ini. Jawatan yang diberi pada diri sendiri..hehe
p/s: sedihkan apabila sebenarnya kita pulang membawa hadiah yang besar, tetapi pemilik hadiah tersebut tidak menyambutnya lalu aku terpaksa menukar nama pemilik hadiah itu tanpa diketahui pemilik sebenar kepada manusia lain. Biarlah hati kecilku bernyanyi lagu duka.
Selasa, 19 Januari 2010
Lagi mimpiku..moga tenang tidurmu

Kusut otak aku memikirkan blog aku yang tidak berupdate ini. Apa jua hendak aku sumbatkan dalam blogku ini. Akhirnya hari ini berupdate juga. Kelmarin dulu yang aku jua tidak mengingati tarikh hari bulannya, aku telah bermimpi. Aku bukan bermimpi apakah unversiti yang akan aku masuki? apakah rupanya keretaku nanti, bukan jua rupa rumahku nanti? Bukan semua itu. hehe.Aku merasakan aku seorang sahaja yang ketinggalan kerana hampir suku sahabat-sahabatku telah bermimpi tentang itu. Semoga mimpiku itu tidak menjadi kenyataan.amin
Bangun sahaja dari tidur, aku tidak berani menceritakan pada sesiapa berkenaan mimpiku kerana dahulu aku pernah membaca satu artikel berkenaan mimpi di ruangan agama dalam keratan akhbar yang mengatakan tidak elok kita bercerita tentang mimpi kita. Petang tadi aku bersiar-siar di laman web iluvislam. Kebetulan pula aku terjumpa thread forum yang bebunyi Jom Kongsi Mimpi. Izinkan aku mengcopy apa yang dikatakan saudara Leokid. Sekadar renungan bersama.
Dari sudut Islam, mimpi merupakan sesuatu yang tidak banyak dijelaskan, namun kepentingannya sama sekali tidak dinafikan. Singkap sahaja lembaran sirah Nabi Yusuf yang bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan sujud kepadanya. Dan juga kisah baginda menakwilkan mimpi sang raja. Ya, mimpi ada kepentingannya.
“Dari Abu Qatadah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w bersabda;mimpi yang buruk adalah dari syaitan, siapa yang bermimpi buruk hendaklah ia meludah ke sebelah kirinya dan minta perlindungan (dengan membaca A’uzubillahi minassyaitannirrajim) Allah dari syaitan serta jangan diceritakan kepada orang lain; dan siapa yang bermimpi baik hendaklah ia bergembira dan jangan diceritakan kecuali kepada orang yang dipercayainya. Selain itu, larangan Rasulullah ini juga boleh jadi sebagai satu amaran – kerana sesungguhnya mimpi itu perkara ghaib yang tidak boleh ditentubenarkan kebenarannya. Setiap mimpi perlu ditakwil dengan berhati-hati. Dan hanya boleh ditakwil dengan orang yang memiliki ilmu mengenainya, jauh sekali kita hamba biasa yang ilmu-ilmu makrifatullah pun masih terkial-kial. Penakwil perlu mengetahui makna sesuatu di sebalik sesuatu, mampu mengenali yang tersurat di sebalik yang tersirat di dalam apa yang tersurat. Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda melalui salah satu sanadnya Abu Daud:
“Mimpi itu bagaikan sesuatu yang tergantung pada kaki burung, selama ia tidak diceritakan. Jika diceritakan terjadilah ia.”
Justeru, janganlah terlalu difikirkan mengenai apa yang kita mimpikan. Sebagaimana pesan orang-orang tua kita, mimpi itu adalah mainan tidur. Acapkali kita bermimpi, hendaklah kita berdoa semoga beroleh kebaikan dari mimpi itu dan dijauhkan dari keburukannya.
Rabu, 13 Januari 2010
Hidup ini tidak pernah terjangkakan

Allah tidak akan membebankan seseorang melainkan dgn kesanggupannya.
Ahad, 10 Januari 2010
Kanvas yang indah
Budak 1: Kakak, bila kakak nak balik Kelantan?
Aku: (dahi berkerut) Haa, kenapa nak balik Kelantan.
Budak 1: Kakak tak sekolah ke?
Aku: Eh, kakak dah habis sekolah la. Kakak belajar kat Melaka bukan Kelantan. Awak darjah berapa?
Budak 1: Saya Darjah 1..
Aku: Ooo seronok sekolah ?
Budak 1: Seronok..
Aku tersenyum, manalah budak ini mendapat informasi yang salah. Seelang lima minit, ada seorang budak perempuan lagi berkata-kata kepadaku.
Budak 2: Eh, kakak muka kakak macam cina.
Aku: Haa, macam tak je. (muka terkejut)
Budak 2: Ye, muka kakak macam cina.
Tergelak sahaja yang aku mampu. Sejak bila pula mata aku sepet ni. Budak-budak biarlah. Mungkin dia tersalah menilai tuh. Tidak mengapa dik...dimaafkan... hehe..
Seronok pula bila aku melihat mereka, teringin pula aku kembali ke zaman kanan-kanakku. Emakku pernah berkata "Kakak nakal masa kecil-kecil dulu."Aku hanya mengiakan kerana memang aku nakal semasa kecil-kecil dahulu. Ya Allah perangai aku macam budak-budak lelaki. Jikalau pada waktu petang aku tidak pergi bermain bersama-sama budak-budak perempuan yang lain sebaliknya aku mengikut budak-budak lelaki bermain. Pergi menangkap ikan berudu di longkang besar, masuk ke dalam semak-samun semata-mata ingin mencari belalang kunyit dan banyak lagi. Aku pun kurang pasti kenapa aku gemar bermain dengan mereka. yang aku amat pasti ketika itu ialah seronok sangat. Itu sebablah sehingga sekarang aku tidak mahir bermain batu seremban. Permainan yang sepatutnya budak-budak perempuan kuasai. Tetapi aku sedar aku sudah mula berubah ketika di Darjah 5. Ketika itu aku sudah mula bertudung di sekolah dan aku sudah menjauhkan sedikit diri dengan budak-budak lelaki. Mungkin aku sudah mula sedar erti kematangan diri. Aku lebih gemar bergaul dengan budak-budak perempuan. Kelakar pula jikalau dikenangkan semula.
Itu kisah yang bermula sewaktu aku setahun jagung dahulu. Indahnya hidup ini kan umpama kanvas yang indah dan mengasyikkan. Tetapi dalam keindahan itu juga, ada terpalit warna yang mencomotkan. Cuma aku berharap, apabila masa berlalu dan semakin banyak warna indah yang tercalit, warna yang comot itu akan tenggelam. Tidak hilang, masih kekal di situ, tetapi ia akan bersebati menjadi sebahagian yang utama pada kanvas.
Rabu, 6 Januari 2010
Pilihan di tanganmu
Huh, penat aku berjalan-jalan kelmarin dan semalam. Kemana? Tak jauh dekat sahaja, dalam internet. Aku bukanlah melawat tempat-tempat yang menarik seluruh dunia. Aku hanya ke laman-laman sesawang yang mempamerkan blog template. Sungguh macam-macam perasaan yang menyelinap ketika aku sedang membuat pilihan. Nak menjerit melalak pun ada, nak tergelak guling-guling pun ada. Ya Allah, lama-lama boleh masuk hospital bahagia kalau berterusan begini.Aku bukanlah dikategorikan seorang yang cerewet dan memilih tetapi kita mestilah hendak yang terbaik untuk blog kita. Sudahlah aku tidak mahu memilih warna lain selain biru, itulah yang menjadi kesukaran untukku kerana warna-warna biru semuanya tidak lawa dan ceria. Aku tahu korang pasti mengatakan bahawa background blog aku yang sekarang ini pun tidak lawa kan. Cukuplah, cakaplah apa sahaja, aku rasa macam sudah tidak berdaya lagi hendak tukar. Biarlah dulu dia bernafas di Penaku Menari ini. Tunggulah pula apabila mood aku dah baik. Aku pasti akan menukarkannya. Terima kasih aku ucapkan kepada Isha dan Fidot yang sudi membantuku. Maklumlah jahil sedikit.

Susah benar hendak buat pilihan dalam hidup inikan? Terkadang apa yang kita rasa elok itu sebenarnya tidak elok untuk kita. Tetapi yang kita rasa tidak elok itulah sebenarnya terbaik untuk kita. Pernah guru fizikku bercerita tentang seorang sahabatnya yang di dalam dilema kerana ingin dikahwini oleh dua orang pemuda iaitu Encik A dan Encik B. Selepas menunaikan istikarah, sahabat guruku itu mendapat ilham supaya berkahwin dengan Encik B tetapi dia tidak mengikut ilhamnya itu lalu berkahwin dengan Encik A kerana dia yakin Encik A dapat mebahagiakan hatinya. barangkali jua dia lebih mencintai Encik A, tetapi siapa kita yang hendak menentukan. Semuanya di tangan Allah.Akhirnya masjid yang mereka bina tidak dapat bertahan lama kerana tidak sefahaman dan sehaluan. Mereka berpisah akhirnya.
Jumaat, 1 Januari 2010
Hari ini dan semalam
Kenangan bersama Mahie dan Ika selepas tamat annual dinner
Itu kisahku yang semalam, tetapi hari ini berlainan pula kisahnya. Entah mengapa hari ini hatiku diruntun sayu. Aku tidak menangis. Cuma sebak sahaja. Mungkin sahaja aku gemar benar melayan hati perempuanku yang kuat benar sensitifnya. Malam semalam sahaja, aku menerima satu mesej daripada sahabatku. Dia mengadu kesedihannya ditinggalkan orang yang tersayang. Sebagai sahabat aku cuba memujuknya. Aku juga pernah mengalaminya suatu ketika dahulu. Aku tahu perkara itu sangat melukakan. tetapi siapa kita untuk ketahui segala takdir yang Allah tetapkan. Pasti ada hikmahkan tiap-tiap seseuatu yang berlaku itu. Harap pengunjung blogku tidak tersalah faham, aku tidak pernah bercouple hingga ke saat ini. Cuma biasalah, aku juga sama seperti remaja yang lain. Pernah tersangkut dengan perasaan sendiri yang hanya mengusutkan jiwaku akhirnya. Tidak mengapa, Allah itu sayangkan hambaNya. Aku mengadu kepadaNya ketika itu agar menghuraikan kusutku itu. Akhirnya kusutku itu, hari ini terhurai. Hari ini juga aku sayu kerana dua seorang sahabat baikku Ika dan Mahie akan ke menyertai kem PLKN. Aku sudah menitipkan banyak ucapan dan pesanan kepada mereka. Supaya menjaga diri, menjaga akhlak..supaya gembira-gembira selalu di sana. Pernah suatu hari, Ika menyatakan kebimbangannya kepadaku. Dia takut suatu hari nanti, ketika kami sudah berjauhan, aku jauh daripadanya, aku akan melupakannya. Aku hanya mampu tersenyum ketika itu, tidak mahu aku mengalirkan air mata di hadapannya. Aku harus kuat. Sikit-sikit mahu nangis sahaja yang aku tahu. Tetapi hari ini, aku mengalirkan air mata. Aku cuba menafikan kata-katanya itu. Aku katakan yang aku tidak mungkin melupakannya. Lima tahun kita bersama. Jangan bimbang.
"Ukhwah itu bukan terletak pada sebuah pertemuan,
bukan pada manisnya ucapan,
tetapi terletak pada ingatan sahabatnya dalam doanya"
~Imam al-Ghazali~